06 November 2009

Pukul 4 pagi

Aku dalam keadaan termanggu-manggu sambil menunggu panggilan dari isteriku. Aku rindu sangat akan gurau sendanya. Sambil itu, aku menghabiskan masa ku dengan mengemas apa-apa yang patut. Memang ku akui yang keadaan rumahku memang sangat kotor dan berhabuk, berselerak di sana-sini. Adakah aku perlu menunggu dia pulang bagi mengemaskan rumah yang berkeadaan seperti tongkang pecah ini. Tidak sama sekali, kerana aku tidak sampai hati membiarkannya melakukan kerja-kerja berat tatkala beliau sedang berbadan dua sekarang.

Maka mahu tidak mahu, aku harus merajinkan diriku agar aku dapat mengemaskan rumah tongkang pecah ini kepada keadaan asal yang lebih kemas dan tidak berhabuk. Pencuci lantai yang telah ku beli pada tahun lepas hanya sempat aku gunakan sebanyak 3 kali sahaja. Betapa malasnya aku. Inilah diriku yang penuh dengan keadaan malasku yang telah banyak mengundang masalah.

Sambil mengemas rumah, aku sempat juga meneliti apa sahaja yang terlintas di fikiranku tentang internet. Aku sibukkan diriku pada pagi ini dengan internet dan kemas rumah. Aku bercadang untuk tidak tidur pada kali ini, kerana aku tahu, jika aku tidur, maka aku tidak akan sempat bangun untuk ke tempat kerja esok atau mungkin aku akan lewat. Di pagi yang hening ini, aku gagahi diriku untuk membuka mata biarpun di dalam hati kecil seakan-akan ingin tidur.

Pukul 3 pagi......

Aku bangun seawal 3 pagi kerana terjaga dari tidur...terus aku mengenangkan isteriku yang dalam perjalanan pulang ke rumah ku dari Araun, Perlis. Entah tidur ke berjaga menanti aku menemaninya sepanjang perjalanan. Entah lapar ke kenyang semasa berada di dalam bas tersebut.

Kasihani aku mengenangkan kegigihan beliau menyintai aku. Tak henti-henti kasih sayangnya padaku sehinggakan aku mahu menangis bila mengenangkan perjalanan suka duka yang kami lalui bersama. Aku sendiri pun kadang-kadang sibuk dengan kerja seharian ku yang memaksa aku tidak dapat selalu untuk menemaninya. Dengan keadaan kandungan yang hampir masuk 5 bulan namun beliau tetap gigih menjaga kandungannya.

Aku sangat-sangat terhutang budi kepadanya kerana sudi menyintai aku dan menyayangi aku dengan sepenuh kasih sayangnya. Aku rasa terlalu bahagia. Sungguh besar kurniaan Yang Maha Esa terhadap diriku ini. Memberikan diriku untuk dicintai oleh insan yang terlalu istimewa sesungguhnya kepadaku. Maka makbul lah doa-doaku terkemudian tahun dahulu untuk mendambakan cinta dan kasih sayang darinya yang bergelar isteri.

Seumpama mempunyai suatu 'chemistry' di saat aku menulis blog ini bila si dia yang ku sayang-sayang menelefon aku sebentar tadi. Seolah-olah dirinya tahu yang aku sedang memujanya di atas kecekalannya menyintaiku. Beliau masih dalam perjalanan ke sini dan aku sangat-sangat berharap aku akan dapat menemuinya secepat mungkin. Rindu rasanya bila berjauhan, tetapi rindu ini tidak dapat ku khabar kan kepada nya atas sebab-sebab perasaan.

Iskh...lambatnya gerak detik jam di dinding. Andai dapat ku pantaskan ia selaju mungkin maka lekas lah aku dapat menemui isteriku yang ku sayangi.