13 September 2009

ManUtd 3-1 Spurs

Permainan yang menarik ditunjukkan oleh manutd dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lepas. Tatkala kehadiran Spurs yang begitu mengancam dengan kemenangan demi kemenangan pada musim ini, United hadir dengan permainan yang begitu tenang dan tangkas menahan asakan lawan. Walaupun dikejutkan dengan gol pada minit awal perlawanan oleh Jermaine Defoe, namun jentera United tetap bermain dengan penuh ketenangan dan keyakinan.
Inilah perlawanan yang paling bagus pernah dipamerkan oleh United pada musim ini ketika berhadapan dengan pasukan yang boleh dianggap pilihan pada tahun ini. Dengan corak permainan 'one-touch football' yang menarik, anak-anak buah United berjaya mempamerkan permainan yang kemas dan lengkap dengan hantaran-hantaran yang sangat menarik. Memilih formasi 4-3-3 dengan Dimitar Berbatov diletakkan sebagai umpan dengan dibantu oleh Wayne Rooney dan Giggs. Manakala Paul Scholes diletakkan sebagai jeneral padang bergandingan dengan Anderson dan Flecther nyata memberikan impak yang besar kepada keseluruhan pasukan dengan hantaran-hantaran 'short-passing' yang kemas dan memukau.
Di bahagian pertahanan pula adalah benteng kebal yang diketuai oleh Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic disamping Evra dan O'Shea. Nyata pada perlawanan ini, benteng United senantiasa kebal dari ancaman Spurs walaupun terdapat banyak juga serangan-serangan yang mendebarkan hati. Selain itu, Evra juga turut memainkan peranan sebagai pemain pertahanan menyerang kerana beliau sering kali dilihat naik melakukan 'overlapse' bagi membantu barisan serangan. Namun begitu tahniah kepadanya kerana dia masih sempat mengawal garisan pertahanan disamping membantu menyerang.
Biarpun ketinggalan dengan gol awal oleh Jermaine Defoe, namun United tetap berusaha dengan penuh kesabaran dalam erti kata memburu gol penyamaan. Peluang tersebut hadir setelah United memperolehi sepakan percuma di luar kotak penalti dan lantas disudahi oleh Giggs dengan lencongan bola yang menerjah ke penjuru kanan gol Spurs. Pemburuan United bukan setakat itu saja, malah gol kedua hadir apabila hantaran Scholes ditampan oleh pemain pertahanan Spurs dan lantas peluang itu disambar oleh Anderson untuk menjaringkan gol kedua pendahuluan United.
Selepas itu, Spurs mula bermain secara agresif dengan melakukan terjahan-terjahan ganas sehinggakan perlawanan menjadi panas dengan berbagai-bagai insiden. Insiden demi insiden telah menyebabkan Paul Scholes telah dilayangkan kad kuning kedua disamping kad merah yang mengesahkannya keluar padang. Walaupun United bermain dengan 10 orang, namun tempo permainan mereka tidak berubah dengan corak hantaran 'short-passing' yang pantas dan kemas. Gol ketiga hadir tatkala Wayne Rooney dibiarkan keseorangan di benteng hadapan. Tanpa diduga, beliau dapat melepasi benteng pertahanan lawan lantas menjaringkan gol yang ketiga buat United.
Walaupun bermain dengan 10 orang, namun United dapat juga bermain dengan pantas dan kemas serta menjaringkan gol. Permainan yang menarik oleh United dan perlu diteruskan pada perlawanan-perlawanan yang akan datang. Tahniah kepada Sir Alex Ferguson kerana bijak mencatur strategi dalam berdepan dengan Spurs.

No comments:

Post a Comment